Antara Objek dengan Pelengkap

      No Comments on Antara Objek dengan Pelengkap

Oleh Kho Thong Eng

    Objek ialah frasa nama yang menyusulikata kerja transitif. Objek meliputi struktur yang pelbagai. Sila lihat contoh berikut:

1. Dia menganyam tikar.
2. Dia menyertai kugiran itu.
3. Kita harus mengutamakan kesopanan.
4. Dia menghubungi setiausaha itu.
5. Dia menghidangkan lauk-pauk.
6. Kita tidak harus menangkap rama-rama.
7. Dia mengemaskan bilik tidur.
8. Dia merindui kampung halaman.
9. Dia menyusun kerusi meja.
10. Dia membersihkan longkang yang tersumbat itu.
11. Dia menyedari (hal) bahawa dirinya bersalah.

    Dalam ayat 1 hingga 11, semua kata yang berhuruf tebal merupakan frasa nama objek. Dalam ayat 1, kata tikar ialah kata tunggal yang menjadi objek kepada kata kerja transitif menganyam. Dalam ayat 2, kata kugiran ialah akronim. Dalam ayat 3, kata kesopanan ialah kata terbitan. Dalam ayat 4, setiausaha ialah kata majmuk.

    Dalam ayat 5, kata lauk-pauk ialah kata ganda. Dalam ayat 6, kata rama-rama ialah kata ganda semu. Dalam ayat 7, bilik tidur merupakan frasa nama dengan binaan inti – penerang. Dalam ayat 8, kampung halaman ialah frasa nama intiinti yang maksudnya serasi. Dalam ayat 9, kerusi meja ialah frasa nama inti-inti yang maksudnya bertentangan. Dalam ayat 10, longkang yang tersumbat itu ialah frasa nama yang dipancang klausa pancangan relatif yang. Dalam ayat 11, objek (hal) bahawa dirinya bersalah ialah frasa nama yang memuatkan klausa komplemen bahawa. Pada umumnya, kehadiran objek selepas kata kerja transitif adalah wajib. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat yang terbina akan tergantung maksudnya jika tidak dilengkapi objek. Sila lihat contoh berikut:

12. *Dia menganyam.
13. *Dia menyertai.
14. *Kita harus mengutamakan.
15. *Dia menghubungi.
16. *Dia menghidangkan.
17. *Kita tidak harus menangkap.
18. *Dia mengemaskan.
19. *Dia merindui.
20. *Dia menyusun.
21. *Dia membersihkan.
22. *Dia menyedari.

    Selain objek tunggal atau objek tepat, terdapat ayat yang mengandungi dua objek, iaitu objek tepat dengan objek sipi. Sila lihat contoh berikut:

23. Dia memberi adik hadiah.
24. Sultan menganugerahi orang yang berjasa pingat kebesaran.
25. Dia membacakan nenek surat.

    Dalam ayat 23, kata kerja transitif memberi diikuti oleh objek tepat adik dan objek sipi hadiah. Dalam ayat 24, kata kerja transitif menganugerahi diikuti objek tepat orang yang berjasa dan objek sipi pingat kebesaran. Dalam ayat 25, kata kerja transitif membacakan diikuti objek tepat nenek dan objek sipi surat. Dalam hal ini, kata kerja memberi, menganugerahi dan membaca mendukung fungsi benefaktif atau manfaat dengan maksud “untuk” atau “kepada”. Ayat tersebut akan menjadi tidak gramatis jika hanya satu objek menyusuli kata kerja benefaktif atau manfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *