Pengajaran Band 4 Memanfaatkan Alat Berfikir

Oleh Md Ishak A.Rahman

Apabila pelajar telah menguasai kemahiran berbahasa, pengajaran guru seterusnya ialah aktiviti menajamkan minda dengan kemahiran berfikir. Bagi mencapai objektif tersebut guru perlu menggunakan alat berfikir dalam pengajaran. Terdapat beberapa alat berfikir yang biasa digunakan dalam pengajaran. Antaranya ialah bentuk soalan dan penyoalan, pengurusan grafik, peta minda dan Cognitive Research Trust (CoRT – Edward de Bono).

Dalam kebanyakan pengajaran, guru lebih berfokus kepada pembelajaran berbentuk soalan dan penyoalan sebagai alat berfikir. Hal ini ditekankan dalam pembelajaran tahap band 3. Bahan berbentuk teks, grafik, gambar, dan sebagainya adalah sebagai bahan rangsangan. Guru membina soalan daripada bahan rangsangan yang sesuai dengan tahap penguasaan pelajar. Pembelajaran membuat ulasan berdasarkan bahan rangsangan tersebut selaras dengan penulisan karangan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pada tahap pembelajaran band 4 guru menambah alat berfikir dengan menggunakan grafik dan peta minda. Sebagai nilai tambah, pelajar bukan sahaja diberi kemahiran mentafsir, memberi ulasan, dan pendapat malah membina grafik dan peta minda sendiri. Hal ini selaras dengan usaha untuk menajamkan kreativiti pelajar melalui program pengajaran menggunakan peta minda yang menjana otak kiri dan otak kanan.

Kemahiran ini menjadi sebahagian daripada yang terkandung dalam panduan pembelajaran tingkatan dua. Berikut ialah panduan perkembangan pembelajaran band 4 yang harus dikuasai oleh pelajar pada setiap tingkatan menengah rendah.

 Jadual 1 Kemahiran Pembelajaran Band 4

Kemahiran Lisan T1. Berbincang dan mengemukakan hujah yang relevan untuk menerima atau menolak pendapat secara sopan dalam pelbagai situasi. T2. Berbincang dengan memberikan pandangan yang rasional menggunakan gaya pengucapan (kata, ungkapan dan ayat) yang sesuai. T3. Berunding tentang sesuatu perkara dengan menjelaskan pendapat yang rasional secara berhemah.
Kemahiran Membaca T1. Membaca dan menjelaskan maksud yang tersurat dan tersirat dengan betul daripada pelbagai bahan.

T2. Membaca dan memindahkan maklumat yang tersurat kepada bentuk grafik atau sebaliknya dengan lengkap.

T3. Membaca dan mentafsirkan maklumat dalam bahan grafik dengan betul serta membuat inferens yang relevan tentang maklumat tersebut.

Kemahiran Menulis T1. Menulis kerangka penulisan, idea utama dan idea sokongan berdasarkan sesuatu tajuk dalam perenggan dengan betul.

T2. Menulis perenggan yang koheren dan kohesi menggunakan penanda wacana yang sesuai.

T3. Menulis karangan berformat atau tidak berformat dengan laras bahasa yang betul dan lengkap. Menulis cerita atau cerpen dengan menggunakan plot yang lengkap

Peta minda diberi pendedahan dalam pengajaran tahap band 4 sebagai nilai tambah kepada pelajar. Pelajar bukan sahaja menyatakan ulasan maklumat tersurat dan tersirat daripada bahan, malah melakar peta minda dalam pembelajaran. Hal ini dinyatakan kerana sesetengah guru tidak memberi penekanan sama ada sebab kumpulan pelajar tidak mencapai tahap atau kemahiran ini tidak terdapat dalam PT3.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *