Faktor Dalaman Punca Bahasa Rojak?

      No Comments on Faktor Dalaman Punca Bahasa Rojak?

Oleh Suhaizi Suhaimi

    Istilah rojak merujuk kepada bahasa bercampur aduk yang digunakan dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Selain itu, bahasa rojak dalam bidang bahasa lebih dikenali sebagai percampuran kod yang membawa maksud penggunaan berbagai-bagai unit linguistik, seperti imbuhan, kata, frasa dan klausa daripada dua sistem tatabahasa yang berlainan dalam satu ayat dan memerlukan minimum dua bahasa yang peraturannya diintegrasikan dalam satu ayat (Bokamba,1988: 24).

    Penggunaan bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan sesuatu bahasa. Kenyataan ini memang tidak harus dipandang remeh. Penggunaan bahasa rojak bukan sahaja sudah semakin sebati dalam kalangan masyarakat, bahkan bagai api dalam sekam yang membakar senyap sehingga merosakkan kekuatan bahasa Melayu itu sendiri. Oleh itu, pelbagai isu yang lazimnya negatif boleh terjadi akibat penggunaan bahasa rojak tersebut.

    Faktor yang berkait rapat dengan bahasa rojak ini sebenarnya berpunca daripada kelemahan jati diri warganegara itu sendiri. Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan harus digunakan dengan betul dan tepat. Namun begitu, terdapat penutur yang mencampuradukkan satu bahasa dengan bahasa yang lain terutamanya semasa proses komunikasi berlangsung. Hal ini turut diakui oleh Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hajah Asmah Haji Omar (1982) yang menyatakan bahawa fenomena penukaran kod ini sering berlaku kepada masyarakat yang bertutur dalam dua bahasa. Sebagai contoh, masyarakat Melayu memiliki bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu dan turut menerima pendidikan formal dalam bahasa Inggeris sejak kecil lagi.

    Secara tidak langsung, penutur mampu menguasai keduadua bahasa secara serentak dan fenomena penukaran kod ini mudah untuk berlaku sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Hal tersebut merupakan perkara yang tidak sepatutnya berlaku terutamanya dalam membentuk penggunaan bahasa yang lebih murni. Sebagai warganegara, kita seharusnya lebih peka akan isu ini dan berusaha untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan tidak bercampur aduk.

    Selain itu, status linguistik bahasa Melayu boleh mengalami perubahan apabila penularan bahasa rojak ini semakin membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana status linguistik bagi bahasa Melayu adalah fonemik berbanding dengan bahasa Inggeris. Dalam erti kata lain, sebutan dalam bahasa Melayu memiliki bunyi yang konsisten dan mudah untuk disebut oleh penutur natif atau bukan penutur natif. Apabila sebutan linguistik bahasa Melayu mengikut sebutan bahasa Inggeris seperti “generasi” menjadi “jenerasi”, status linguistik bahasa Melayu boleh bertukar kepada tidak fonemik. Oleh itu, apabila sebutan bahasa Melayu yang tidak tepat digunakan akibat pengaruh bahasa rojak tersebut berlaku, jelas mencerminkan bahawa bahasa Melayu tidak murni pada kaca mata penutur lain.

    Kekuatan fakta yang disampaikan dengan bahasa yang lemah dan bercampur dengan bahasa asing sememangnya dipertikaikan oleh penutur bahasa yang lain. Oleh yang demikian, penutur sesebuah bahasa itu harus memperbaiki tahap penguasaan bahasa yang dituturkan agar jati diri kebangsaan dapat diwujudkan dalam setiap individu yang menggunakan bahasa tersebut.

    Sudah menjadi tradisi apabila kebanyakan kelompok manusia yang sedikit akan mengikuti kelompok yang lebih ramai. Begitu juga dalam isu bahasa rojak ini. Hal ini lebih dikenali sebagai “budaya nasional” dan kebiasaannya berlaku apabila sesuatu yang salah dianggap betul sekiranya kelompok majoriti memulakannya terlebih dahulu.

    Penukaran kod ini sudah menjadi budaya yang tanpa disedari telah merosakkan identiti bangsa dan negara sedangkan bahasa Melayu itu begitu tinggi martabatnya di negara ini. Antara sebab berlakunya gejala ini termasuklah penutur berkenaan kurang mahir dengan kosa kata asing yang digunakan dan kata pinjaman yang berasal daripada bahasa lain untuk menerangkan sesuatu konsep atau objek tidak terdapat dalam bahasa tersebut (Holmes, 1992). Oleh hal yang demikian, penutur lebih cenderung menggunakan bahasa rojak untuk memberikan gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara dan turut diikuti oleh penutur yang lain.

 

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Julai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *