Buaian Ibu Burung

      No Comments on Buaian Ibu Burung

Seekor anak burung baru dilahirkan. Bulunya putih kristal, gebu dan sejuk. Wajah dan bundar matanya mirip ibu burung. Ekor dan kepaknya pula seiras bapa burung. Anak burung sangat gemar makan buah-buahan yang berbiji kecil. Buah berbiji halus itu berwarna merah atau kuning terang dan masak ranum. Anak burung meminta ibu burung mendapatkan sebanyak yang boleh untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Kerana terlalu kasih akan anak burung itu, ibu dan bapa burung memanggilnya “adik burung” supaya sentiasa dimanja dan disayangi. Jika ibu burung tidak sempat mencari buah biji kecil, ulat hijau pendek pun sedap juga.

Bapa burung selalu berpesan, “Kita mesti bersyukur. Tidak elok cerewet dan terlalu memilih. Hidup berpadapadalah.”

Anak burung akan ingat sampai mati pesanan itu – mesti bersyukur. Tuhan sayang akan sesiapa yang bersyukur kepada-Nya.

Pada hari ini, bapa burung akan berusaha mencari sarang baharu. Sarang yang diduduki anak burung sekarang bukanlah usang sangat – masih kukuh. Walau ditiup angin dari utara atau tenggara pun, sarang pertama itu masih selamat dihuni. Ibu burung pun pernah berhajat untuk bertelur sekali lagi di sarang yang tua tetapi kukuh itu. Di situ tergantung buaian kasih sayang ikhlas daripada ibu burung kepada anaknya.

Walau bagaimanapun, semalam bapa burung berkata,“Kita terpaksa berhijrah ke sarang lain. Mungkin kita perlu mencari habitat di hutan rimba lain.”

“Mengapa? Di sini tempat kita bersua, berkicauan bersama-sama. Di sinilah rumah pertama kita. Mengapakah kita mesti berpindah?” tanya ibu burung dengan kesal dan sedih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *