Masa Depan Bahasa Melayu di Malaysia

      No Comments on Masa Depan Bahasa Melayu di Malaysia

Oleh Sarjit S. Gill (UPM, Serdang)

    Melayu sebagai bahasa rasmi termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sejak merdeka sehingga kini mendepani pelbagai cabaran. Pelbagai faktor luaran sering dijadikan isu utama seperti pengaruh globalisasi, misalnya penggunaan bahasa Inggeris yang lebih popular berbanding dengan bahasa kebangsaan.

    Dalam satu forum bahasa yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada November 2015, penulis melontarkan pandangan bahawa kedudukan bahasa Melayu di Malaysia semakin tenat. Pelbagai persoalan timbul mengenai kedudukan dan masa depan bahasa Melayu. Usaha memartabatkan dan mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu bukan hanya memfokuskan kepada orang Melayu sahaja, malah meliputi semua masyarakat di Malaysia. Maka, penggunaannya perlu dimantapkan lagi supaya bahasa Melayu terus menjadi bahasa yang membangunkan bangsa di negara ini. Hal ini merupakan harapan pejuang bahasa sejak sekian lama.

    Bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu dan mempunyai nilai serta jati diri tersendiri kerana amat mudah dipelajari dan berfungsi sebagai alat perpaduan demi memelihara hubungan etnik yang harmonis. Tegasnya, bahasa Melayu merupakan satu alat perhubungan yang penting untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia. Ternyata, kebanyakan golongan imigran yang bekerja di Malaysia mempelajari bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia. Pekerja asing dari Myanmar, Kemboja dan Bangladesh amat cepat menguasai bahasa Melayu. Penulis yakin bahawa bahasa Melayu mampu diangkat sebagai bahasa kedua di Asean selepas bahasa Inggeris. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu yang meluas di rantau Asean membolehkan usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan antarabangsa.

    Rakyat Malaysia masih memandang enteng terhadap kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia memberikan penekanan kepada bahasa Inggeris sehingga menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pada hemat penulis, generasi muda juga mempunyai peranan untuk menyemarakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Golongan belia perlu lebih bersedia untuk menerima dan menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perlu diteruskan walaupun selepas mereka menamatkan pengajian.

    Pelbagai inisiatif baharu perlu diperkenalkan untuk menarik minat rakyat Malaysia berinteraksi dalam bahasa Melayu. Majoriti penduduk bandar lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dalam interaksi harian mereka. Namun begitu, mereka tidak mengabaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, malah berusaha untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 152.

    Secara keseluruhannya, usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diteruskan dan diberi sokongan oleh semua lapisan masyarakat. Pada masa yang sama, pihak berwajib seharusnya lebih peka dan memberikan tumpuan yang lebih dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu akan lebih terbela sekiranya semua pihak bersatu padu untuk mengangkat taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu demi pembinaan tamadun bangsa.

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Julai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *