Bahasa Rojak Menyerlahkan Krisis Jati Diri

    Fenomena lambakan iklan berbahasa Inggeris sama ada yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya atau bahasa rojak (gabungan bahasa Inggeris-Melayu) kelihatan masih berlaku sehingga kini. Majoriti pengiklam menjadikan daya kreativiti sebagai alasam untuk menghalalkan cara mereka. Mereka mendakwa, jika tidak menggunakan laras bahasa sedemikian, maka golongan remaja yang dijadikan sasaran untuk membeli barangan atau produk perkhidmatan mereka tidak mungkin  tertarik untuk memilikinya.

    Jika hal tersebut sering kali dihjadikan alasan untuk menarik perhatian pengguna, wajarkah bahasa rojak dan slanga digunakan untuk mengiklankan produk yang sasarannya melibatkan golongan remaja? Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana agensi pengiklanan seharusnya menjalankan tanggungjawab sosial untuk mendidik khalayak pada semua peringkat termasuklah golongan remaja.

    Iklan yang dihasilkan sewajarnya menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Penggunaan bahasa rojak di negara ini, lebih-lebih lagi pada papan iklan gergasi, dianggap sebagai satu topik yang penuh kontroversi kerana para pengkaji dan pencinta bahasa menganggapnya sebagai melanggar hukum bahasa. Keadaan ini juga mewujudkan kesan negatif dalam aspek pembelajaran bahasa. Mereka melahirkan kebimbangan sekiranya golongan pelajar yang rata-ratanya melibatkan remaja, kekurangan kemahiran menulis dan bertutur dalam bahasa kebangsaan jika amalan ini dibiarkan terus berlaku.

    Antara situasi yang sering kita perhatikan dalam isupenggunaan bahasa rojak termasuklah untuk menonjolkan kehebatan penutur berkenaan menguasai bahasa kedua, yakni bahasa Inggeris. Namun begitu, perkara sebaliknya yang berlaku. Mereka dikecam oleh pihak lain sebagai tidak mampu atau “kurang cerdik” untuk menguasai bahasa tersebut dengan sepenuhnya. Kebanyakan penutur bahasa rojak ini kebiasaannya mengalami kesukaran untuk bertutur dalam bahasa Inggeris yang sebenar. Hal ini menyebabkan mereka disalah erti dan dipandang sinis apabila berada di negara Barat yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi harian. Kemunculan generasi yang hanya tahu berbahasa rojak ini amat membimbangkan kerana mereka bukan sahaja tidak lancar berbahasa Inggeris, bahkan juga tidak fasih berbahasa Melayu. Hal ini bukan sahaja dianggap sebagai masalah komunikasi, malah turut ditafsirkan sebagai satu krisis jati diri.

    Langkah yang tegas dan menyeluruh perlu diambil untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Misalnya, penubuhan satu jawatankuasa peringkat tertinggi oleh pihak kerajaan amat diperlukan bagi tujuan ini. Untuk mengelakkan penggunaan bahasa rojak yang semakin melarat, maka kita perlu melahirkan masyarakat yang benar-benar memahami aspek dwibahasa, iaitu mahir bertutur dan menulis dalam kedua-dua bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris) dengan menggunakan nahu dan tatabahasa yang betul, bukannya menggunakan bahasa rojak.

    Sebenarnya kita mahu melihat rakyat Malaysia memiliki kemahiran dwibahasa yang berada di landasan yang betul. Tuntasnya, selain usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris supaya dapat bersaing pada peringkat global, langkah yang lebih tegas dan bersungguh-sungguh juga seharusnya dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang baik, betul dan teratur.

    Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, tiada pengecualian diberikan kepada pihak pengiklan untuk mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dengan sewenang-wenangnya. Jika berbicara tentang soal keberkesanan menyampaikan mesej yang tepat dalam iklan, adakah penggunaan bahasa rojak mampu menarik golongan sasaran sepenuhnya?

Tinta Editor dari Abd Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *