Sentuhan Magis Ahmad

      No Comments on Sentuhan Magis Ahmad

Oleh Saza. S

Hari ini, cerpen Ahmad tersiar lagi di dada akhbar. Hati saya melonjak-lonjak kegembiraan. Saban hari minggu, saya akan segera ke kedai runcit berdekatan bagi mendapatkan surat khabar yang menampilkan ruangan karya di halaman yang paling akhir. Ternyata minggu ini, karya Ahmad tersiar lagi. Saya kesukaan. Karya Ahmad amat saya minati. Kali pertama saya membaca cerpen Ahmad yang tersiar, saya dapat merasakan tulisannya begitu polos tetapi menyentuh hati.

Ahmad berjaya menulis karya yang tinggi nilai kesusasteraan tanpa mengetepikan keupayaan pembacanya yang datang dari pelbagai peringkat usia. Salah seorangnya termasuklah saya. Hari ini, saya membawa alhbar ke meja makan. Biarpun ditegah ibu agar tidak makan sambil membaca, saya tidak mengendahkan. Karya-karya Ahmad seperti punya suara yang lebih bergemersik daripada intonasi ibu. Saya membaca dengan tekun sambil menjamah jemput-jemput. Hari ini, karya Ahmad berkisar kisah peperangan di Palestin. Tentang seorang pemuda Palestin yang lahir dalam marga rusuhan, bertemu dengan seorang wartawan dari negara Eropah yang kebetulan seusia dengannya. Dalam cerpen itu, Ahmad menceritakan bagaimana pertembungan ideologi antara tanggungjawab membebaskan tanah air dengan nuansa mempertahankan keagamaan menjadi titik perseteruan antara kedua pemuda itu. Ah! saya hanyut dalam pembacaan. Tatkala ibu melihat saya begitu khusyuk membaca, ibu seraya berkata “mesti karya Ahmad lagi kan?” Saya hanya tersenyum simpul.

Seusai pembacaan singgah di nokhtah terakhir, saya terus membawa diri ke dalam bilik. Surat khabar besar itu saya lipat di bahagian tengah. Seperti biasa, cerpen-cerpen Ahmad sentiasa saya jadikan koleksi. Saya gunting dengan cermat, saya tulis tarikh dan saya tampal dalam buku skrap. Saya namakan koleksi itu sebagi ” Sentuhan Magis Ahmad”. Hari ini saya benar-benar teruja. Saya selak kembali koleksi karya Ahmad yang terkandung dalam buku tersebut. Ada cerita pendek, ada puisi moden, ada puisi tradisional, ada skrip drama dan ada juga makalah berkaitan isu semasa yang pernah dikupas oleh Ahmad. Pendek kata, Ahmadlah hero saya dalam dunia penulisan.

 

Cerpen ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *