“Per” yang Perlu Diperhatikan

      No Comments on “Per” yang Perlu Diperhatikan

Oleh Mohd Rashid Darham

Lewah alah sejenis kesalahan tatabahasa yang kerap dilakukan oleh pengguna bahasa. Lewah atau pembaziran berlaku apabila dua unit bahasa, khususnya perkataan, yang sama fungsi dan atau makna digunakan bersama-sama dalam pembinaan sesuatu ayat. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, hal seperti ini dikira sebagai kesalahan. Oleh itu, ayat yang terjana dianggap tidak gramatis.

Selain perkataan, terdapat juga imbuhan yang sering digunakan secara lewah dalam pembinaan perkataan. Imbuhan yang dimaksudkan ialah awalan per+ dan akhiran +kan yang sering digandingkan dalam pembinaan perkataan seperti 1-5 yang berikut:

1. *Percepatkan

2. *Perelokkan

3. *Pereratkan

4. *Perkukuhkan

5. *Perluaskan

Binaan perkataan 1-5 dianggap tidak gramatis kerana menggandingkan per+ dan +kan yang lewah. Hal ini sedemikian kerana imbuhan tersebut mempunyai fungsi dan makna yang sama. Kedua-duanya berfungsi menerbitkan kata kerja transitif (KKT) daripada golongan perkataan lain. Perbezaannya ialah imbuhan +kan lebih berkuasa berbanding imbuhan +per. Maksudnya ialah akhiran +kan dapat menerbitkan KKT daripada semua golongan perkataan utama manakala akhiran +per dapat menerbitkan KKT daripada golongan kata adjektif (KA) sahaja. Hal ini dapat diperhatikan daripada Jadual 1 yang berikut:

Jadual 1 Penerbitan KKT melalui pengimbuhan +kan dan per+

Kata dasar

Imbuhan +kan

Imbuhan +per
Elok (KA) Elokkan

Perelok

Buku (KN) Bukukan

*Perbuku

Buka (KKT) Bukakan

*Perbuka

Tidur (KKTT) Tidurkan

*Pertidur

KA = kata, adjektif, KN = kata nama, KKT = kata kerja transitif dan KKTT = kata kerja tak transitif. Tanda * menunjukkan bentuk yang tidak gramatis. Ia digunakan dalam rencana ini seterusnya.

Dari segi makna pula, imbuhan +kan mendokong maksud yang lebih luas berbanding imbuhan +per. Pada umumnya imbuhan +kan dapat mendokong dua maksud iaitu kausatif dan benefaktif. Imbuhan +per pula dapat mendokong maksud yang pertama sahaja. Hal ini dapat diperhatikan daripada Jadual 2 yang berikut:

Jadual 2 Makna yang di dokong oleh imbuhan +kan dan per+

Makna didokong

Kata dasar +kan +per

Kausatif

Elok (a) Elokkan Perelok
Buku (n) Bukukan *Perbuku

Fail (n)

Failkan

*Perfail

Benefaktif Buka Bukakan

*Perbuka

Baca (kt) Bacakan

*Perbaca

Tidur (ktt) Tidurkan

*Pertidur

Oleh sebab adanya persamaan inilah, gandingan imbuhan per+ dan +kan dalam penerbitan sesuatu KKT, khususnya daripada KA, dianggap lewah dan tidak gramatis. Contoh penggunaan perkataan seperti ini (dalam bentuk KKT aktif) dalam ayat ialah 6-10 yang berikut:

6. *Malaysia perlu mempercepatkan proses pembangunannya.
7. *Orang Melayu seharusnya memperelokkan tingkah laku mereka.
8. *Perisian komunikasi itu dapat mempereratkan persahabatan.
9. *Semangat 1 Malaysia memperkukuhkan perpaduan.
10. *Encik Ahmad memperluaskan rumahnya.

“Mempercepatkan”, “memperelokkan”, “mempereratkan”, “memperkukuhkan” dan “memperluaskan” ialah KKT yang masing-masing diterbitkan daripada KA “cepat”, “elok”, “erat”, “kukuh” dan “luas”. Dari segi maksud, KKT terbitan ini mendokong makna kausatif, yang secara mudahnya dapat diertikan sebagai “menjadikan”. Oleh itu, ayat 6-10 dapat juga diujarkan seperti 11-15 yang berikut:

11. Malaysia perlu menjadikan proses pembangunannya cepat.
12. Orang Melayu seharusnya menjadikan tingkah laku mereka elok.
13. Perisian komunikasi itu dapat menjadikan persahabatan erat.
14. Semangat 1 Malaysia menjadikan perpaduan kukuh.
15. Encik Ahmad menjadikan rumahnya luas.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *