Kata Bantu Aspek “Sedang” dalam Bahasa Melayu

Oleh S. Nathesan

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), kata bantu dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua jenis, iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Kata sedang pula termasuk dalam kata bantu aspek dalam bahasa Melayu. Kata bantu aspek digunakan untuk menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu sama ada masa lampau, masa kini atau masa hadapan. Kata sedang digunakan pula untuk menimbulkan masa kini. Kata sedang lazimnya diletakkan sebelum frasa kerja, frasa adjketif dan frasa sendi dalam ayat untuk membawa maksud tambahan dari aspek waktu.

Sementara itu, Asmah Hj Omar (2009) pula dalam Nahu Melayu Mutakhir mengkategorikan kata sedang sebagai kata kerja aspek yang menunjukkan perbuatan atau keadaan yang sedang berlaku. Demikian juga Abdullah Hassan (2006) dalam Morfologi menjelaskan bahawa kata bantu aspek berfungsi menerangkan kata kerja. Hal ini juga bermakna bahawa kata sedang tidak termasuk sebagai kata bantu aspek adjektif dan sendi seperti yang dijelaskan dalam Tatabahasa Dewan.

Kata sedang digunakan dalam ayat untuk menimbulkan suasana masa, iaitu untuk menunjukkan masa kini. Perhatikan beberapa ayat yang menerangkan hal tersebut dalam frasa kerja seperti yang berikut:

a) Mereka sedang bernyanyi di auditorium Shah Alam.

b) Naveen sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan petroleum di Universiti Teknologi Malaysia.

c) Isteri saya sedang membersihkan halaman rumah.

d) Asheera sedang bermain-main bersama datuknya.

e) Shameena sedang menyiapkan tesis sarjananya.

Dalam ayat tersebut, kata sedang membawa maksud kala, iaitu maksud ketika ini atau semasa. Misalnya, ayat (a) menerangkan bahawa aktiviti bernyanyi sedang dilangsungkan sekarang, bukannya sesuatu yang sudah berlalu atau akan berlaku kemudian. Demikian juga ayat (d) menjelaskan bahawa Asheera ketika ini bermain bersama datuknya, bukannya semalam atau masa lain.

Didapati bahawa kata sedang banyak digunakan sebelum frasa kerja berbanding dengan frasa adjektif dan frasa sendi. Penggunaan kata sedang sebelum kata adjektif dan frasa sendi didapati memang terhad. Hal ini terbukti jika diteliti daripada penggunaan kata sedang dalam bahasa Melayu. Berikutnya disenaraikan beberapa penggunaan kata sedang sebelum frasa adjektif dan frasa sendi.

1. Seluruh dunia maju kini sedang dalam peralihan ke arah pengurusan dan pentadbiran menerusi kebijaksanaan kolektif dan tindakan yang diambil atas budi bicara individu (Frasa sendi).

2. Tidak sampai lima saat, helikopter yang membawa kerangka besi menghempap dua beranak itu yang sedang dalam perjalanan ke sebuah klinik (Frasa sendi).

3. “Ketika orang lain sedang nyenyak tidur, saya sudah sedia menunggu penumpang di tebing sungai,” katanya ketika ditemui Utusan di sini baru-baru ini (Frasa adjektif).

 

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *