Panduan Penggunaan Sistem Tanda Baca Bahasa Melayu

 

Judul: Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Tanda Baca

Pengarang: Ismail bin Dahaman

Penerbit: 2015

Pengulas: Junawati binti Ab Hamid

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan yang berwibawa. Untuk tujuan tersebut, pelbagai usaha telah dilakukan oleh DBP, antaranya melalui penerbitan dan penyebaran bahan pengajaran dan pembelajaran, serta penggunaan bahasa Melayu satandard yang mapan supaya semua lapisan masyarakat pengguna dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berbahasa mereka.

Penerbitan buku seperti Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Tanda Baca ini amat diperlukan kerana huraian yang terperinci terhadap aturan dan kaedah yang dapat menyelesaikan masalah kekeliruan, ketidakselarasan dan kerancuan bahasa yang masuh terdapat dalam kalangan pengguna bahasa Melayu kini. Salah satu aspek yang perlu diberikan perhatian ialah penggunaan alat mekanika bahasa secara khusus, iaitu penggunaan tanda baca. Penggunaan tanda baca yang tepat dikatakan dapat memantapkan struktur tatabahasa dan pembentukan wacana bahasa Melayu tulisan yang mapan.

Pengolahan wacana bahasa Melayu yang bertaraf tinggi memerlukan keterampilan ilmu dan kemahiran mengarang. Apabila tanda baca diterapkan dengan tepat dan jelas, maka pertalian idea diseimbangkan dengan pertautan sintaksis bagi melahirkan wacana bahasa Melayu yang bertaraf tinggi. Untuk menjelaskan tentang penggunaan tanda baca itu, maka penulis telah mengambil inisiatis untuk menghasilkan buku Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Tanda Baca.

Buku tersebut mengandungi kaedah yang diperincikan tentang semua tanda baca yang terpakai dalam tulisan Rumi bahasa Melayu terkini. Kaedah penggunaan tanda baca dalam buku ini banyak dijelaskan dengan ilustrasi dan teks contoh. Pendekatannya adalah dengan memaparkan bentuk penggunaan tanda baca yang salah atau tidak tepat dan disertakan dengan bentuk yang betul dan sebaliknya. Dengan itu, pembaca dapat melihat dan memahami fungsi setiap tanda baca dengan mudah. Ada pihak yang menganggap tanda baca sebagai unsur sekunder yang penggunaannya dalam tulisan lebih bersifat alternatif dan gaya individu yang sukar hendak diaturkan. Justeru, tanda baca berupa lambang bagi tinggi rendah atau lagu suara dalam pertuturan, maka penggunaan tanda baca yang tepat fan kemas dapat menzahirkan bacaan dengan intonasi dan gaya yang lancar dan bernas, atau dapat disimpulkan dengan ungkapan Kalimat Bertanda, Intonasi Bergaya.

 

Ulasan buku ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *