Pengajaran Band 3 Berfokuskan Kemahiran Berfikir

Oleh Md. Ishak A. Rahman

    Kebanyakan pelajar di sekolah yang telah menguasai kemahiran berbahasa berada pada tahap pembelajaran band 3. Mereka menguasai kemahiran membaca, mendengar, pertuturan, dan penulisan dengan baik. Selain itu, mereka berupaya menguasai kemahiran berfikir berasaskan maklumat yang diterima atau bahan rangsangan yang dibaca. Tegasnya, mereka boleh memahami dan memberikan respons kepada maklumat yang didengar dan dituturkan, dibaca dan ditulis.

    Pada umumnya pelajar kumpulan ini boleh menguasai Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ibu bapa dan guru tidak perlu bimbang apabila anak-anak mereka telah mencapai tahap pembelajaran band 3 untuk menghadapi PT3. Malah, mereka juga berupaya untuk mencapai keputusan cemerlang PT3.

    Sesetengah guru yang menggunakan pendekatan peperiksaan dalam pengajaran menggunakan bahan tahap band 3 sebagai asas pengajaran. Mereka menggunakan modul atau model peperiksaan PT3 untuk pengajaran. Mereka membuat ulang kaji dan laith tubi untuk membiasakan pelajar dengan format peperiksaan. Sebab itu, pada peringkat awal pelaksanaan PT3, riuh dan gusar dalam kalangan guru kerana kementerian lambat atau tidak memberikan contoh format PT3. Seolah-olah guru tidak mempunyai panduan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P).

    Apabila keputusan PT3 pertama diumumkan, pencapaian pelajar tidak memuaskan guru dan ibu bapa, mereka menyalahkan Lembaga Peperiksaan kerana tidak mengeluarkan garis panduan format soalan peperiksaan lebih awal. Sementara itu, kementerian menyatakan punca kemerosotan adalah kerana kemasukan unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam soalan peperiksaan. Guru hanya mengaplikasikan kemahiran berfikir yang melibatkan memberi pendapat dalam P&P. Dalam KBAT merangkumi kemahiran memberi pendapat, mengaplikasikan pengetahuan, membuat ramalan, menyelesaikan masalah, membanding, dan lain-lain.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *