Usah Abaikan Nilai Ekonomi Bahasa Melayu

Oleh Asbah Razali

    Evolusi bahasa Melayu semakin berkembang selaras dengan taraf kemajuan yang dicapai oleh masyarakat pada hari ini. Namun begitu, pengabaian bahasa Melayu dari segi nilai ekonomi pada hari ini mendatangkan kerugian besar kepada negara kita. Pengabaian dari aspek bahasa ini kelihatan berlaku dalam dunia ekonomi sekarang. Jika diamati secara mendalam, pendaftar premis perniagaan tidak mementingkan aspek kebahasaan apabila mereka sesuka hati mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain. Akibatnya, pengabaian tersebut sering mendapat perhatian dan reaksi daripada pelbagai pihak memandangkan nama perniagaan yang dipamerkan di premis-premis perniagaan mudah dilihat oleh orang ramai.

    Faktor pengabaian ini juga berkaitan rapat dengan kelemahan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa. Sebagai contoh, penguasaan bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh tahap pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana pada zaman yang serba canggih ini kebanyakan pengguna bahasa mempunyai taraf pendidikan yang lebih baik. Terdapat dalam kalangan mereka yang suka mengagung-agungkan bahasa asing berbanding dengan bahasa sendiri, dan menganggap bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi.

    Kelemahan penguasaan bahasa juga disebabkan kurangnya pendedahan terhadap aspek kebahasaan termasuk perkembangan, serta perubahan yang berlaku dalam bahasa Melayu itu. Hakikatnya bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa dinamik yang mengalami perkembangan dan perubahan seiring dengan perkembangan semasa. Bagi memperkukuh dan memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu, tidak dapat dielakkan bahawa hal tersebut boleh mendatangkan kekeliruan terhadap pengguna bahasa sekiranya mereka tida peka dan terdedah dengan perkembangan yang mutakhir. Oleh itu, secara tidak alngsung hal berkenaan turut memberika kesan terhadap perniagaan yang telah lama berdaftar, contohnya dan pada ketika itu premis tersebut masih menggunakan ejaan lama.

    Hal ini juga berlaku kerana kemampuan pegawai penasihat undang-undang utnuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Maka, apabila sesuatu kes berlaku (yang melibatkan kes mahkamah), secara automatikknya mereka menggunakan bahasa Inggeris untuk menyelesaikan masalah tersebut. Keadaan ini berlaku kerana mereka masih berasa ragu-ragu untuk memberikan nasihat dan pendapat dalam bahasa Melayu. Oleh sebab kurangnya pengetahuan dalam bahasa Melayu, lantas mereka menggunakan bahasa Inggeris yang dianggap pasti dapat menyatakan maksud difahami oleh semua pihak.

    Selain itu, faktor pengabaian bahasa Melayu juga disebabkan oleh sikap kurang yakin terhadap bahasa Melayu. Situasi ini berlaku, ekoran penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam bidang tertentu sehingga menyebabkan golongan yang berada dalam bidang tersebut berasa kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu. Mereka beranggapan bahawa bahasa Melayu sukar digunakan, serta tidak tepat dan jelas, manakala perbendaharaan kata baahasa Melayu pula dkatakan tidak lengkap, kabur dan tidak khusus.

    Seterusnya, pengabaian bahasa Melayu ini terus berlaku disebabkan oleh kekurangan istilah khusus dalam bidang ekonomi, menyebabkan ada pihak yang kurang yakin dengan ketepatan makna dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini didapati bahawa istilah dalam bahasa Melayu yan belum lengkap menjadi amsalah utama dalam pengajaran pengurusan bank di institut pengajian tinggi. Walaupun sudah terdapat 29000 istilah dalam bidang tersebut, namun masih banyak lagi istilah ekonomi dan perbankan yang belum diterjemahkan dan dimasukkan ke dala kamus. Sungguhpun sebahagian besar daripada eksekutif dalam bidang kewangan dan bank boleh berbahasa Melayu dngan baik, masih ada dalam kalangan mereka yang cenderung membuat beberapa kesilapan dari segi tatabahasa ejaan, dan penggunanan istilah yang kurang tepat.

    Lazimnya, kesilapan yangsering dilakukan adalah dari aspek tatabahasa yang memperlihatkan ketidakpekaan mereka terhadap aspek itu. Kesilapan sebegini bukan sahaja mencemarkan keindahan bahasa, malah turut melahirkan ketidakseragaman tatabahasa yang mengelirukan pembaca, terutama sekali pembaca buakn Melayu. Kesannya kelihatan berganda apabila mereka yang membacanya akan turut melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, kelemahan berbahasa ini tidak harus dijadikan alasan untuk mengetepikan bahasa Melayu dengan memilih untuk mengutamakan bahasa Inggeris.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *