Sifar kepada Hero Bahasa

      No Comments on Sifar kepada Hero Bahasa

Oleh Nur Sahwati Amat

    Dalam kalangan pekerja asing di negara ini, khususnya yang bekerja dalam sektor kotor, sukar dan bahaya (dirty, difficultand dangerous) atau 3D, Malaysia merupakan lubuk emas! Malaysia antara destinasi yang diidam-idamkan pekerja asing dari Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Bangladesh.

    Di sini, mereka boleh mengubah nasib daripada susah menjadi mudah. Malah bukan sedikit yang menjadi kaya-raya. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia menjanjikan pulangan yang lumayan bukan untuk mereka sahaja , tetapi buat keluarga mereka di kampung.

    “Malaysia umpama syurga,” kata Hussein Hairoh, 34 tahun, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Bangsar South, Kuala Lumpur.
Ketika diwawancara, Hussein tidak menghadapi masalah untuk memahami setiap soalan yang diajukan kepadanya. Meskipun pertuturannya adakalanya tersekat-sekat, Hussein yang berasal dari Bangladesh dan sudah satu tahun 10 bulan berada di negara ini mampu memberikan jawapan menggunakan bahasa Melayu.

    Hussein yang sudah berkahwin terpaksa meninggalkan isteri dan dua orang anaknya di kampung halamannya, mendakwa bahawa mempelajari bahasa Melayu bukan halangan untuk dia berkomunikasi dengan rakyat di negara ini. Apatah lagi Hussein percaya bahawa dengan menguasai bahasa rasmi Malaysia itu membolehkannya meneruskan usaha untuk “cari makan”.

    “Bahasa Melayu banyak senang kakak. Sikit-sikit belajar mesti boleh faham, boleh pandai. Sedikit pandai sudah boleh cari rezeki, boleh jadi pengawal keselamatan, kerja di stesen minyak, dan pasar raya,” ujar Hussein lagi.

    Cerita Hussein fasih berbahasa Melayu bukan cerita satu dalam 1000. Ini bukan cerita ajaib yang jarang-jarang didengar. Sudah menjadi lumrah dalam kalangan pekerja asing yang mewakili sektor 3D, ada dalam kalangan mereka fasih berbahasa dan bertutur dalam bahasa Melayu.

    Umum mengetahui bahawa pembangunan yang pesat di negara ini dan pada ketika Malaysia meniti perjalanan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, sektor 3D mesti digerakkan pada landasan yang tepat agar segala transformasi yang dirancang berjalan dengan sempurna. Maka mahu tidak mahu Malaysia memerlukan tenaga pekerja asing.

    Taraf ekonomi Malaysia yang kukuh turut menjadi magnet untuk mereka mencari nafkah di negara ini. Selain itu, terdapat banyak kemudahan asas, seperti perhubungan yang cekap, sistem telekomunikasi yang baik, kemudahan kesihatan bertaraf tinggi dan sistem pendidikan yang unggul di negara ini turut menjadi tarikan utama kepada mereka. Malah, bagi pekerja asing Indonesia yang bekerja di Sabah, kerajaan turut menyediakan sekolah khas untuk anak mereka mendapatkan pendidikan.

    Perkembangan ekonomi yang memberangsangkan dalam pelbagai sektor, khususnya sektor industri baharu turut menawarkan banyak peluang pekerjaan. Kekurangan minat rakyat Malaysia untuk bekerja di sektor 3D seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turut mendorong kemasukan pekerja asing di negara ini. Tegas beliau, realitinya, ekonomi perlu dibangunkan kerana banyak sektor industri memerlukan tenaga kerja. Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid, sikap memilih kerja menyebabkan majikan terpaksa menggaji pekerja asing untuk sektor 3D.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *