Sekolah Satu Aliran Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu

Oleh Amirah Syazwani, Alor Setar Kedah.

Kegagalan¬†sesetengah masyarakat di negara ini menguasai bahasa kebangsaan terutamanya golongan pelajar sememangnya agak pelik. Sebagai warganegara, kita perlu menguasai bahasa tersebut dengan baik. Pendedahan mengenai kegagalan sejumlah pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menguasai bahasa Melayu oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong telah membuka mata banyak pihak. Pendedahan tersebut mengejutkan masyarakat kerana mereka didapati mampu lulus dalam peperiksaan Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan mereka tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu. Adakah sistem sekolah dua aliran di Malaysia menjadi penyumbang kepada permasalahan ini?

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem pendidikan dua aliran iaitu sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang mungkin menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kegagalan pelajar kaum Cina dan India menguasai bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana, di SJK bahasa pengantar yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah bahasa Cina bagi SJK Cina, dan Tamil bagi SKJ Tamil. Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran ini telah lama diperkatakan. Ahli akademik seperti Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong merupakan antara individu yang sering mencadangkan kepentingan sekolah satu aliran melalui tulisannya yang tersiar baik di akhbar mahu pun majalah. Menurut beliau, pendidikan di Malaysia seharusnya diseragamkan dalam erti kata yang sebenar-benarnya iaitu konsep pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar, bahan pengajaran, sukatan mata pelajaran dan teknik pengajaran yang sama di semua sekolah, sama ada pada peringkat rendah mahu pun¬†menengah. Sekolah satu aliran dilihat sebagai serampang dua mata kerana bukan sahaja membolehkan golongan pelajar bukan Melayu menguasai bahasa Melayu, bahkan dapat mengeratkan perpaduan kaum sesama mereka.

Proses merealisasikan sistem sekolah satu aliran ini acap kali terbantut. Sedangkan melalui sesi persekolahan di bawah satu bumbung yang sama menjadikan hubungan sesama mereka akrab seterusnya dapat mewujudkan perpaduan sejak pada awal usia lagi. Sebagai contoh, pelajar bukan Melayu mampu memahirkan diri menguasai bahasa Melayu kerana menggunakan bahasa kebangsaan tersebut sebagai bahasa pengantar dalam sistem pembelajaran mereka. Ramuan inilah yang diaplikasikan oleh negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand dalam usaha menyatupadukan masyarakat selain memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di negara masing-masing.

Tuntasnya, pelaksanaan sistem sekolah satu aliran perlu dipercepatkan, jika kerajaan Malaysia berhasrat mewujudkan sebuah negara bangsa, khusus dan melahirkan generasi muda yang fasih berbahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem sekolah ini menuntut para pelajar terutamanya golongan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa kebangsaan agar mampu memperoleh ilmu melalui proses P&P disebabkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar. Mereka masih boleh mempelajari bahasa ibunda masing-masing melalui subjek pilihan yang seterusnya menangkis dakwaan sistem persekolahan satu aliran mengetepikan hak berbahasa mereka.

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *