Ruang yang Masih Bersisa

      No Comments on Ruang yang Masih Bersisa

Pada suatu petang, di sebuah stesen Sistem Transit Aliran Ringan, (LRT) yang agak sesak di ibu negara, kelihatan seorang lelaki berkulit sawo matang menceritakan keresahan yang berlaku terhadap dirinya. Keluh-kesahnya satu persatu dihuraikan kepada rakan sekerjanya. Mungkin untuk menarik simpati atau sekadar mengisi masa yang masih berbaki sementara menunggu ketibaan tren berikutnya. Perbincangan antara mereka kelihatan semakin rancak dengan menceritakan pengalaman masing-masing semasa berada di Malaysia. Sesekali penulis cuba mencerap setiap patah perbualan yang berlaku antara kedua-dua pemuda tersebut. Bayangkan perbualan yang berlaku ini merupakan perbualan antara warga Nepal dengan Myanmar.
Satu perkara yang membuatkan penulis berasa begitu bangga ialah komunikasi antara mereka berlangsung dalam bahasa Melayu yang begitu asing buat mereka sebelum ini. Lalu dalam hati kecil terdetik, mengapakah mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris padahal mereka bukannya rakyat tempatan? Pada masa yang sama penulis juga menyaksikan beberapa rakyat tempatan yang begitu bangga berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Di sini kelihatan dua situasi yang begitu kontras. Yang paling penting, bahasa yang amat penulis sayangi ini, masih mempunyai ruang untuk dituturkan oleh bangsa lain khususnya warga asing yang mencari rezeki di negara ini. Meskipun bahasa lain semakin dominan, namun bahasa Melayu masih mampu bertahan, dan hal ini sememangnya memberikan keyakinan kepada kita bahawa bahasa Melayu tidak akan pupus selagi ada pihak yang sudi menuturkannya.
Bahasa Melayu bukan sahaja kelihatan mula berkembang dalam kalangan pekerja rendah warga asing, malah menjadi bahasa pemersatu dan satu-satunya bahasa yang menjadi komunikasi seharian mereka dalam pelbagai urusan. Tidak keterlaluan jika dikatakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pekerja warga Nepal, Myanmar, Pakistan, Vietnam, Bangladesh, Filipina, India, dan Thailand jauh lebih baik daripada warga Malaysia sendiri khususnya penduduk berbilang kaum di negara ini. Warga asing dari Indonesia juga tidak terkecuali perlahan-lahan mengubah dialek bahasa mereka kepada bahasa Melayu yang lazimnya dituturkan di Malaysia.
Meskipun ada sesetengah dalam kalangan mereka masih merangkak-rangkak bertutur menggunakan bahasa Melayu dan kedengarannya agak “aneh”, namun inilah kekuatan bahasa Melayu. Jika dalam situasi yang begitu sukar demi mencari rezeki, bahasa Melayu mampu berkembang secara perlahan-lahan, apatah lagi jika mereka konsisten menggunakan bahasa Melayu dengan penggunaan tatabahasa yang betul dalam tempoh sedekad? Rata-rata teman penulis yang berkunjung ke Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Filipina, mendakwa kerap kali menemui individu yang mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Semuanya hasil daripada pengalaman bekerja selama puluhan tahun di Malaysia. Jadi, mengapakah masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih lagi berkira-kira untuk bertutur dalam bahasa Melayu, malah lebih memilukan mereka gagal dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada Mei lalu, Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berpendapat, pembuat dasar harus melakukan pendekatan yang jelas supaya bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan diangkat menjadi bahasa komersial dalam semua urusan.
Kenyataan Tan Sri Dr Rais Yatim ada kebenarannya kerana jika kita mahu melihat dari sudut komersial, negara Thailand dan Indonesia masih mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan masing-masing khasnya dalam memberikan nama kepada projek mewah. Mengapakah tempat awam di Kuala Lumpur perlu menggunakan nama dalam bahasa Inggeris? Barangkali kita terlalu terikut-ikut dengan arus kebaratan.

Abd Kadir Mohd Ayub

Tinta Editor dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *